January 28, 2015

Pendekar PapanKunci


Bangun. Engkau melihat jam Rolex berwarna perak di tanganmu. 8 pagi, detik hatimu sambil mamai mencapai suis Macbook seperti kebiasaan harinya. Baru teringat kau tertidur selepas menonton ‘movie’ semalam. Nawaitu asalmu malam semalam untuk menyiapkan slide-slide seminar ‘Miracle in Cell’ untuk dibentangkan hari ini. Ada lagi sejam sebelum seminar bermula.

Haa sudah, getus hatimu lalu laju mencari fail slide seminar yang pernah dibuat pelajar senior sebelumnya. Terus dgn ajaibnya mengubah design template, warna dan mengoogle gambar2 yang berkaitan dengan sel2 dan keajaibannya. Siap!

Minda separa sedarmu menjerit, Facebook! ‘Syafiq, Sarah and 148 other people like your status’, kau tersenyum. Statusmu yang lantang menolak praktis pakar kesihatan wanita dan pelajar perubatan terdiri daripada golongan lelaki untuk menyambut kelahiran bayi dgn slogan “Kami 100% menghalang mana-mana lelaki menyambut kelahiran!”. Baginya maruah wanita Islam wajib dijaga sampai mati umpama kisah Khalifah terkenal dahulu.

Semakin hari semakin banyak ‘like’ yang kau dapat berkaitan pelbagai isu, daripada isu vaksinasi hingga ke isu MH370 dgn teori-teori genius. Petanda baik baginya umpama tanda-tanda penyelamat umat akan tiba. Dia bergerak pantas untuk mandi dan memulas habis-habisan motor ke Kuliah Sains di ceruk kampus itu.

Petangnya, dia menghempas buku di katil lalu menghengus. Cis, Prof Alwan, banyak pula dia bertanya soalan. Petang itu ditutup dengan sindiran pedas, “Are you prepared well for this seminar? Are you even read?? You seems you don’t have any idea about what you’re presenting. Even the definition itself, you are not clear about it. This is BASIC!” kata Prof Alwan dengan loghat Scottishnya yang melekat 30 tahun di sana. Merah mukanya di hadapan podium. Egonya tercalar. Dia bakal penyelamat umat, mana boleh dimalukan begini di hadapan kawan-kawannya yg beratus orang. Arggh, baik aku layan Facebook.

Tersenyum, makin ramai like status Fb nya semalam, tapi senyumnya tidak panjang. Mukanya panas. Terpaku pada 1 komen Facebook


‘Salam, sebagai pelajar perubatan, pada hemat saya yang masih belajar, dibenarkan untuk pelajar perubatan lelaki belajar tentang sistem reproduksi wanita sebagai asas menjadi doktor perubatan. Ini disokong oleh dalil agama serta maqasid syariah…..”

Argh, apa ni! Isu wanita disambut oleh pelajar perubatan lelaki ini isu logik semata-mata. Haram. Tiada siapa yang benarkan aurat diri mereka dilihat oleh sesiapa. Getus hatimu. Menaip laju berdebat dengan seorang pelajar perubatan dengan nama panggilan Azman Ramli, dengan kata-kata merendahkan pihak lawan, menempelkan segala-gala hujah dan dalil agama yang kau pernah baca dalam sebuah laman sesawang agama, hanya untuk menegakkan hujah mu. Aku mesti menang! Itu azam dan tekad yang kau bulatkan.

Pling!

Bunyi komen balas daripada pelajar perubatan itu. Disertakan fatwa, pandangan alim ulama kontemporari serta pandangan ahli pakar-pakar perubatan.

Argh, budak ni bodoh! Baru belajar perubatan 2-3 tahun, dah berlagak tahu segala-galanya. Pendapat ulama’ boleh jadi salah. Kalau betul, kita kene betulkan. Hujah lawan dengan hujah! Antithesis bak kata Benz Ali.

Laju-laju kau menekan butang ‘Delete’ di ruang komen Azman Ramli melihat makin ramai ‘like’ komen tersebut. “Mudah cerita, ‘block’ terus si Azman Ramli bodoh ini. Ini Wall Fb aku. Aku ada hak!” laju neuron-neuron otak yang menyokong kebebasan bersuara bersambung mencapai konklusi itu.

Melihat di luar tingkap, ternampak rakanmu menampal poster “Sekolah Ekonomi”. Dia ada terbaca di Timeline Fbnya, objektifnya untuk memberi kesedaran pengurusan mikroekonomi dan hal ehwal sosialekonomi Malaysia dengan kenaikan harga minyak, rumah dan isu pendidikan percuma.

Kau pandang dengan ego, rakanmu itu. “Usaha kau sia-sia. Jika nak turunkan harga minyak dan rumah, kita mesti tentang di FB, kita kena buat demonstrasi, kita kena tunjukkan kita lebih ramai dan kuat daripada kerajaan. Kita kena ambil ibrah daripada Mesir! Kerajaan diktator Hosni Mubarak jatuh kerna Facebook, kerna demonstrasi!”

Status baru!

“Sebagai anak muda yang punya potensi menggoncang dunia dengan prinsip kebebasan bersuara, isu- isu semasa seperti harga minyak dan rumah naik perlulah diubah dengan menekan pihak kerajaan melalui demonstrasi seperti apa yang berlaku di Mesir. Kita mesti tunjukkan kita lebih kuat, rak’yot yang menentukan segala-galanya. Jika tiada kesan, kita mesti berani menjatuhkan kerajaan dan kita sebagai rak’yot sendiri mengambil pucuk pimpinan dan menentukan segala polisi!”

Kau merebahkan diri ke katil. Tersenyum puas. Status terakhir sebelum tidur, menamatkan harimu hari ini. Esok, seperti biasa. Kitaran yang sama akan berulang.

Berulang.

Berulang tidak membina diri,negara dan bangsa.

Berulang menghancurkan segala-galanya dengan alasan kita bina semula dari bata yang pertama.

Berulang tiada makna…
Sahel Akmal
29 Oktober





0 Footsteps:

Regular Customers

Click and Die!